• Keluarga bahagia, Ning bersama suami dan anaknya. Keluarga bahagia, Ning bersama suami dan anaknya.
1 /

“SEKARANG saya penyanyi separuh masa.” Demikian reaksi penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura tentang status terbarunya yang sudah hampir enam bulan bergelar ibu.

Ketika ditemui Sinar Harian Online baru-baru ini, anak lelaki Ning, Ryan Sky Dalton sudah bijak beraksi di depan kamera.

Ryan lahir pada hari ulang tahun perkahwinan Ning dan suaminya, Omar Sharif, 31 Januari lalu.

“Sekarang saya memang dah jadi ibu sepenuh masa dan penyanyi separuh masa. Sebab anak memang nombor satu dan keutamaan saya memang Rayyan,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena hari raya di Restoran Warisan Dataran Merdeka.

Akui tidak meletakkan kepercayaan merawat Ryan di tangan pengasuh, Ning memilih ibunya sendiri untuk menjaga Ryan.

“Ibu saya yang menjaga Ryan. Memang saya tak percaya pada pengasuh buat masa sekarang. Sebelum ini, kami tak pernah ambil pembantu rumah, cuma kerana ada anak ini, baru pertama kali saya ambil.

“Pembantu rumah memang mengemas rumah sahaja kerja dia. Kalau tolong pegang Rayyan pun jika ibu saya nak berhenti untuk berbuka puasa, tetapi hanya sekejap sahaja.

"Setiap kali dia pegang, memang kami ada di sekeliling,” katanya.

Ning juga tidak membenarkan pembantu rumahnya mendukung Ryan sebelum ini.

“Memang saya tak lepaskan Ryan dengan pembantu rumah. Mungkin sebab anak pertama, kena protektif sedikitlah kan. Lagi satu sebab banyak sangatlah cerita ‘seram’ tentang pembantu rumah, saya tak beranilah.

“Saya bagi pembantu angkat Ryan selepas Rayyan berusia empat bulan ke atas. Sebelum itu, saya tak bagi dia angkat. Sebagai ibu, saya cuma tak nak apa-apa terjadilah. Nanti dia kena bertanggungjawab pula,” katanya.

Berkongsi aktiviti Ryan, Ning akui mengajar anaknya bersenam dan berenang.

“Setiap Sabtu dan Selasa, saya bawa Ryan bersenam di Bangsar. Hari Ahad pula, Rayyan akan belajar berenang dengan bayi-bayi lain, anak kawan-kawan saya.

“Pada usia Rayyan tiga bulan saja, suami saya sudah ajar berenang. Saya geram jugalah sebab takut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ning bakal mengadakan konsert Pelangi Untukmu pada September ini dan Januari depan.

Penyanyi Selagi Ada Cinta ini juga akui tidak kisah jika hamil kali kedua dalam masa terdekat.

“Saya memang rancang tak nak tunggu lama-lama untuk anak kedua. Kalau masa konsert kedua, saya mengandung, buat sajalah konsert dengan kandungan itu sekali,” katanya.