• Sisi berbeza Remy, Deanna & Beto
  • Ketika majlis perlancaran filem CEO baru-baru ini. Ketika majlis perlancaran filem CEO baru-baru ini.
1 /

NAMA Remy Ishak, Beto Kusyairy, Deanna Yusoff dalam industri hiburan tanah air sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ketiga-tiga pelakon ini boleh dikatakan sudah memiliki platform yang tersendiri dalam lakonan mereka.


Seperti yang kita ketahui, kebolehan Remy dalam membawakan setiap watak yang digalas dengan baik telah membawa namanya setaraf dengan nama besar yang lain.

Begitu juga dengan Deanna, walaupun sudah lama tidak muncul dalam bidang lakonan, namun pastinya ramai yang sudah mengetahui kebolehan dan kualiti lakonannya.

Sementara Beto pula, kehadirannya dalam industri lakonan telah membuka mata pelbagai pihak bahawa bakat lebih penting daripada rupa.

Kelebihan yang dimiliki mereka telah membuktikan kemampuan mereka untuk bergelar pelakon versatil.

Kembali dengan watak yang lebih mencabar, ketiga-tiga pelakon ini bakal tampil dengan filem komedi bertajuk CEO arahan sutradara baru, Razaisyam Rashid yang baru sahaja memulakan penggambaran semalam.

Filem terbitan AraFilem itu mengisahkan tentang dua lelaki yang berlainan darjat, Adam (Remy) sebagai CEO dalam sebuah syarikat besar yang berjaya dan Sufian (Beto) seorang penghantar piza yang tiada cita-cita.

Bagaimanapun, kerana satu insiden, kehidupan kedua-dua lelaki tersebut berubah di mana Adam telah kehilangan jawatannya manakala Sufian pula mengambil alih tempat Adam.

Keliru dengan perubahan diri masing-masing, Adam dan Sufian mula menyiasat punca keadaan mereka berubah.

Berkesempatan menghadiri majlis pelancaran filem CEO yang dijalankan di Bora Ombak, Ampang, Selasa lalu, Zass sempat menemu ramah tiga pelakon CEO, Remy Ishak, Beto Kusyairy dan Deanna Yusoff mengenai lakonan mereka.

Kembali watak komedi

Aktor kacak, Remy Ishak pernah memberi kenyataan bahawa dirinya tidak mahu lagi memegang watak komedi. Namun atas dasar skrip dan jalan cerita yang berbeza, dia sekali lagi setuju untuk kembali berlakon komedi menerusi filem ini.

Menurutnya, idea dan jalan cerita menarik yang cuba disampaikan pengarah telah berjaya menarik minatnya untuk turut serta dalam CEO.

"Ini bukan kali pertama saya bawa watak komedi, namun melihatkan kelainan konsep komedi kali ini yang jauh berbeza dengan lakonan saya sebelum ini, saya terima untuk menjayakannya.

"Sebelum ini saya keluarkan kenyataan seperti itu kerana saya lebih selesa dengan skrip yang lebih realistik berbanding komedi, tapi kalau skrip yang ditawarkan sesuatu yang menarik dan saya sendiri tidak pernah buat, saya akan cuba.

"Sebab saya memang jenis yang suka lakukan sesuatu perkara yang baru dalam karier dan pada masa yang sama akan pastikan setiap teknik dan produk yang saya hasilkan sentiasa berlainan setiap masa sebab itu salah satu cabaran buat saya sebagai pelakon," jelasnya.

Bertanyakan sejauh mana keyakinannya terhadap pengarah baru itu, Remy akui agak bimbang pada awalnya.

"Saya sudah ada dalam industri ini lebih kurang lapan tahun. Boleh dikatakan banyak juga pengalaman saya bekerja dengan pengarah baru dan ada beberapa perkara membuatkan saya rasa kurang senang.

"Tapi kali ini, walaupun saya pernah ada pengalaman yang mengatakan tidak semua pengarah baru berkebolehan, namun selepas berkali-kali bertemu dengan Razaisyam ketika sesi latihan, saya lebih yakin.

Sejak itu juga, saya mula nampak misi dan visinya sebagai pengarah dalam filem ini," katanya.

Menurutnya, sebagai pelakon, tidak salah sekiranya mereka menitik beratkan soal seperti itu.

"Tidak salah sebagai seorang pelakon menitik beratkan soal pengarahan daripada pengarah sebab pelakon hanya sebagai pemain dalam sesebuah naskhah, adunan sebenarnya datang daripada seorang pengarah," katanya.

Dalam pada itu, Remy memberitahu dia kini sedang terlibat dalam penggambaran drama bersiri bagi slot Akasia, Ku Cinta Kau Seorang yang mula ditayangkan bermula Julai depan.

Deanna tak merajuk

Kali terakhir muncul dalam lakonan tempatan ialah pada 2007 menerusi filem Chermin. Kini pelakon Deanna Yusoff kembali beraksi dalam CEO dengan memegang watak yang berbeza daripada lakonannya sebelum ini.

Menurutnya, atas faktor usia yang semakin meningkat, dia mengambil keputusan untuk memperlahankan aktiviti seninya.

"Saya sepi dalam bidang lakonan bukan sebab merajuk atau kecewa. Melihatkan usia saya yang semakin meningkat, saya mengambil keputusan untuk lebih mengutamakan kehidupan sendiri.

"Bidang lakonan bukan lagi keutamaan buat saya. Tapi kalau ada lakonan yang sesuai dan menepati cita rasa, saya tidak akan menolaknya," ujarnya.
Kata Deanna, dia dipertanggungjawabkan untuk memegang watak sebagai seorang peguam yang berperanan besar menerusi filem ini.

"Dalam CEO, saya berperanan sebagai seorang peguam yang selalu memanipulasikan orang lain tapi dia tidaklah jahat.
"Watak yang saya pegang ini memang berbeza dan saya tertarik membawanya sebab walaupun bukanlah watak utama namun ia satu watak penting.

"Saya harap lakonan kali ini bakal memberi satu pengalaman baru buat penonton," katanya.
Dalam perkembangan lain, Deanna memberitahu dia kini sedang sibuk menguruskan perniagaan coklat dari Switzerland, GrandJean Freres.

Risau dengan tanggungjawab diberi

Pernah membawa watak komedi menerusi filem pecah panggung, Istanbul aku Datang, pelakon Beto Kusyairy sekali lagi menggalas tanggungjawab yang sama menerusi CEO.

Menurutnya, walaupun kedua-dua filem tersebut mengangkat genre komedi, namun ianya masih memiliki perbezaan iaitu dari segi karakter.

"Watak yang saya bawa dalam Istanbul Aku Datang lebih kepada romantik, berbeza dengan CEO yang boleh saya katakan ianya bukanlah filem yang mengetengahkan genre komedi sepenuhnya.

"Bagi saya, CEO adalah sebuah filem yang memaparkan komedi yang bijak dari segi jalan cerita dan dialog, di samping menampilkan plot-plot yang menarik. Sebab itu jugalah saya tertarik untuk menerimanya.

Walaupun begitu, Beto tidak menolak bahawa dirinya berasa sedikit bimbang terhadap tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk menjayakan watak tersebut.

"Kerisauan saya cuma terletak pada tanggungjawab, sebab setiap naskhah yang diberikan, saya anggap sebagai satu tanggungjawab.

"Bila orang bagi tanggungjawab, kita perlu buat sehabis baik untuk menzahirkan karakter itu dan sampaikan mesej yang tersirat kepada masyarakat. Selain daripada itu, saya tidak nampak ianya sebagai satu kerisauan," katanya.

Tambahnya, keserasian bersama Remy sedikit sebanyak membantu dirinya dalam menjayakan watak yang digalas dengan baik.

"Sudah banyak kali kami kerja bersama dan sudah pasti gandingan kali ini akan lebih memudahkan kami," katanya.

Selain itu, Beto tidak lama lagi bakal tampil dengan filem Bravo 5 yang turut dilakonkan Remy Ishak.