• Misiku Kuza Barisan pelakon dalam drama Misiku Kuza.
  • Misiku Kuza Antara babak dalam drama Misiku Kuza.
1 /

Baru sahaja bersiaran bermula 6 Mei lalu di saluran 104 Astro Ria, jam 10 malam, drama bersiri Misiku Kuza berkisarkan tentang kehidupan seorang jururawat bernama Kuza yang menjadi rebutan dua adik-beradik iaitu Dr Aaron Aziz dan Airiel.

Menurut pengarah yang juga penulis skrip drama ini, Shahrul Ezad Mohameddin, meskipun drama ini menampilkan jalan cerita biasa seperti konflik keluarga dan percintaan tiga segi, namun ia masih mempunyai kelainan yang mampu menarik hati penonton.

"Drama ini mengetengahkan gaya hidup seorang jururawat dan saya yakin ia mendapat perhatian penonton kerana ramai di luar sana yang menjawat jawatan ini.

"Walaupun akan ada yang menganggapnya boring kerana sepanjang 13 episod hanya berlatar belakangkan hospital serta jururawat, tetapi ia tidak menjadi satu masalah.

"Bagi saya, pasti ada penonton yang akan terpesona dengan drama ini nanti," katanya yang menjalani penggambaran selama 55 hari bagi drama tersebut.

Jelas Shahrul Ezad, drama ini benar-benar mencabar dirinya sebagai pengarah memandangkan ia telah ditolak oleh beberapa stesen televisyen tempatan sebelum diterima pihak Astro.

"Kata mereka, drama ini tidak akan dapat sambutan penonton, bagaimana pun, saya tidak putus asa kerana banyak drama seperti ini di luar negara menerima sambutan hebat," katanya.


Sedia hadapi risiko

Membariskan pelakon baru seperti Hairul Azreen, Erin Malek dan Arja Lee bukanlah satu kelemahan bagi drama ini. Tegas Shahrul Ezad, pemilihan pelakon berdasarkan kesesuaian watak dengan seseorang pelakon itu.

"Pihak produksi punya alasan mengapa kami memilih Hairul, Erin dan Arja sebagai teraju utama.

"Mereka masing-masing punya keistimewaan sendiri, meskipun dikelaskan masih hijau dalam industri ini, tetapi mereka sudah mempunyai pengikut sendiri khususnya Hairul," katanya yang tidak sukar bekerjasama dengan pelakon berkenaan.

Diaju pertanyaan gaya pembawaan watak setiap pelakon, akui Shahrul Ezad, walaupun memakan masa untuk memastikan setiap karakter dan lakonan mereka tidak keras dan menjadi, namun dia bangga kerana ketiga-tiga pelakon utama itu beri komitmen sepenuhnya.

"Mereka masih baru dan masih perlu dibentuk supaya lakonan nampak berkesan, namun semua itu adalah tanggungjawab kami yang telah mengambil mereka dan kami sedia mengambil risikonya," ujar Shahrul Ezad yang gemar memberi ruang kepada muka baru bagi setiap karya hasil sentuhannya.


Garap skrip berkualiti

Walaupun mengakui barisan pelakon yang membintangi drama ini kurang popular, namun bagi Shahrul Ezad, dia tidak gentar kerana yakin dengan skrip yang diolah.

"Sebagus mana pun pelakon itu tetapi jika skripnya tidak baik ia tetap akan dikritik.

"Bukan sahaja drama tersebut akan meletup tetapi juga akan membawa artis itu ke satu tahap yang lebih tinggi," katanya dan memberitahu Radius One Sdn Bhd sentiasa membekalkan muka baru kepada penonton.

Berkongsi mengenai mesej yang terdapat dalam drama ini, kata Shahrul Ezad, penonton akan dapat menghayati kisah cinta yang tidak kesampaian kerana tiada keberanian dalam diri seseorang itu untuk mengakuinya.

"Tiga watak dalam drama ini menunjukkan rasa cinta masing-masing, tetapi kerana ego dan tidak mahu mengaku, mereka terpaksa menerima takdir yang lain pula.

"Pun begitu, hubungan abang dan adik juga boleh berubah kerana seorang perempuan, di sinilah konflik timbul dan kita mahu penonton sedar akan kepentingan kekeluargaan yang digarap," katanya dan berharap drama ini diterima semua golongan masyarakat.