Seperti yang telah diumumkan tidak lama dahulu, program realiti yang berteraskan bidang masakan iaitu MasterChef Selebriti Malaysia kini bakal bersiaran pada setiap hari Sabtu hingga Selasa jam 9.00 malam bermula 26 Mei lalu secara eksklusif di Astro Ria menerusi Saluran 104.

Program ini bakal memperlihatkan barisan selebriti terlibat yang harus berdepan dengan pelbagai ujian menarik dan kritikan yang pastinya menguji kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan bukan sahaja daripada segi fizikal tetapi juga mental mereka di dapur.

Program MasterChef Selebriti Malaysia yang buat julung kali diterbitkan ini menampilkan 16 orang selebriti tanah air yang popular dalam bidang masing-masing iaitu Dato' Fazley Yaccob, Tomok, Azwan Ali, Karl Shafek, Jehan Miskin, Angah Raja Lawak, Farouk Hussien, Mejar Dr. Faiz, Juliza Adlizan, Thanuja, Siti Sarah Raisuddin, Serina Redzuawan, Raja Azmi,  Salamiah Hassan, Louisa Chong dan Soo Wincci.

"Menariknya, selebriti terlibat bukan sahaja disatukan di dapur untuk mengejar misi yang sama, tetapi juga berpeluang untuk beramal yang mana setiap selebriti akan menyumbangkan wang yang mereka menangi kepada badan-badan amal yang diwakili. Kami berasa amat gembira dan berterima kasih dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh barisan selebriti yang terlibat untuk menjayakan program ini," ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Encik Nizam Sani

Selain itu, program MasterChef Malaysia juga bakal kembali untuk musim kedua dan akan memulakan sesi ujibakat di beberapa lokasi terpilih serata Malaysia.

Pihak produksi akan mengunjungi enam buah negeri bagi mengenal pasti calon peserta yang dilihat layak untuk menyertai program ini di lokasi-lokasi berikut:


26 Mei 2012 - Sarawak Tourism Complex (Old Courthouse, Kuching) & The Pacific Sutera Hotel, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah

02 Jun 2012 - Hyatt Regency Kuantan Resort, Telok Chempedak, Pahang & PERSADA Johor, Johor International Convention Center, Johor Bahru

09 Jun 2012 - Akan diberitahu kelak

16 Jun 2012 - Taylor’s College, Kuala Lumpur