Sempena menyambut keputeraan Nabi Muhammad s.a.w yang akan diraikan umat Islam seluruh dunia pada 5 Februari ini, TV3 bakal menyajikan pelbagai rancangan menarik buat santapan rohani para penonton.  

Berikut adalah antara rancangan-rancangan yang bakal disiarkan;
 
Cerekarama: Al–Ikhlas, 4 Februari, 10 malam
Sinopsis: Al-Ikhlas mengisahkan tentang Solah, seorang yang sangat lurus dan baik hati. Keadaan Solah menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal, dia tinggal berseorangan ditemani dengan kucing-kucing kesayangannya. Dia juga sering berkunjung ke surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun, apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut. Ramai yang tidak jadi membeli tanah tersebut kerana adanya surau di situ.
Pelakon: Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi.

Kasut, 5 Februari, 10.30 pagi
Sinopsis: Yaya (12 tahun) menerima bantuan persekolahan berbentuk pakaian dan kasut sekolah sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dua minggu sebelum cuti akhir tahun. Malangnya, bungkusan tersebut terjatuh dalam sungai ketika basikal yang ditunggang bersama adiknya, Din (10 tahun) tergelincir di jambatan. Yaya dan Din tidak berani memberitahu nenek mereka, Opah Hajar kerana bimbang dimarahi. Opah Hajar memang mengharapkan bantuan tersebut memandangkan hidup mereka terbeban dengan hutang yang ditinggalkan oleh arwah ayah mereka. Yaya dan Din berikhtiar untuk menggantikannya dengan wang saku.
Pelakon: Erryne Eryana, Fimie Don, Fauziah Nawi, Noorkhiriah, Mubarak Majid.

Runtuhnya Sebuah Dosa, 5 Februari, 10 malam
Sinopsis: Tragedi tanah runtuh telah menjadi titik baru di dalam kehidupan dua keluarga yang menjalani kehidupan yang berbeza. Shahdan mengahwini Manisa dan mempunyai dua anak iaitu Emelda dan Daniel. Mereka menjalani kehidupan yang sosial manakala Mansur berkahwin dengan Cempaka dan dikurniakan dua anak iaitu Rashidi dan Amira. Cempaka begitu tabah menghadapi kematian Mansur akibat tragedi itu namun Manisa tidak dapat menghadapi kematian Shahdan. Setelah terjaga dari koma Emelda menginsafi segala perbuatannya dan dia mula rapat dengan Rashidi yang membantunya ke jalan yang benar.
Pelakon: Tiz Zaqyah, Puteri Fatin, Beto Kusyairy, Remy Ishak, Aziz Singah, Azizah Mahzan, Rahim Razali, Liza Zain.

Istimewa Saladin, 6 Februari 2012, 10.00 pagi
Sinopsis: Saladin atau dikenali sebagai Salahuddin Al-Ayyubi, komander perang kurdish pada abad ke-12 merupakan pengasas Dinasti Ayyubi bangsa Kurdis di Mesir dan Syria. Selain di Barat, Saladin juga terkenal di kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai pemimpin dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.
Pelakon: Fahrin Ahmad, Faradhiya.

Diet Rasulullah, 6 Februari 2012, 6.00 petang
Sinopsis: Program Diet Rasulullah s.a.w menyampaikan secebis maklumat kepada penonton mengenai amalan pemakanan Rasulullah s.a.w. Ia disampaikan secara santai oleh Ustaz Nor Hisham Al-Idrus dan sahabatnya, Cikgu Suhaimi Mamat kepada tiga anak-anak yang sedang meningkat remaja. Turut serta membimbing perbualan bermaklumat ini, Haji Ahmad Noor Sulaiman. Tanpa kita sedari rutin pemakanan seharian kita banyak mengundang penyakit kerana tidak mengikut amalan yang dipraktikkan Rasulullah s.a.w.

Telekung Buat Mama, 6 Februari 2012, 9.00 malam
Sinopsis: Telekung Buat Mama mengisahkan tentang Athirah yang dibesarkan oleh neneknya setelah ibu bapanya bercerai. Ibu Athirah, Jamie sudah 8 tahun tidak pulang ke kampung. Suatu hari, Jamie dikejutkan dengan berita pemergian ibunya. Kepulangan Jamie disambut oleh Athirah. Jamie membawa Athirah tinggal bersamanya di bandar. Athirah terkejut melihat cara hidup ibunya yang sering bersosial dan tidak pernah mengerjakan solat. Pada majlis ulangtahunnya, Jamie menyuruh Athirah memakai gaun yang mendedah aurat. Tetapi, Athirah hanya berpenampilan ringkas, berseluar panjang dan bertudung. Malah, Jamie terkejut dengan hadiah pemberian Athirah iaitu sehelai telekung putih.
Pelakon: Erin Malek, Faradhiya, Fahrin Ahmad, Marissa Yasmin, Khatijah Tan, Kismah Johar.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Istimewa Maulidur Rasul bermula 4 Februari ini, hanya di TV3!