Berita baik untuk penggemar drama bersiri bercorak kepolisian, mulai 13 Disember depan sebuah siri terbaharu bertajuk Rookie Blue bakal ke udara bagi menggantikan siri Blue Bloods yang disiarkan menerusi TV2.

 
Drama 13 episod arahan David Wellington yang akan disiarkan setiap Selasa ini sarat dengan babak-babak aksi dan penyiasatan oleh sekumpulan pegawai polis 'Rookie' yang belajar untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka dalam memenuhi harapan keluarga dan rakan sekerja.
 
Menampilkan lakonan hebat Missy Peregrym, Gregory Smith, Enuka Okuma, Travis Milne, Eric Johnson, Matt Gordon dan Charlotte Sullivian, Rookie Blue mengangkat kisah yang berlaku dalam kehidupan mereka ketika menjalankan tugas yang sarat dengan drama, aksi dan diselang-selikan dengan aksi komedi bersahaja daripada lima pelakon utamanya. 
 
Rookie Blue mengetengahkan watak bernama Andy, seorang anggota polis yang baik, Epstein pula seorang genius yang berasal daripada sebuah keluarga yang berantakan, Peck membesarkan di kalangan keluarga yang terhormat, Diaz pula mahu membebaskan dirinya daripada imej budak baik dan seorang ibu tunggal bernama Nash yang cuba berdepan dengan kenyataan dengan cuba mengimbangi waktu kerja dan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.
 
Drama bersiri ini mengajak peminat aksi-aksi kepolisian mengetahui dengan lebih lanjut dan mendalam tentang kes-kes yang dekat dengan masyarakat. Apatah lagi isu yang di ketengahkan turut diambil daripada kisah dan watak yang wujud dan bukan rekaan yang mana kes yang dibongkar berbeza setiap minggu.
 
Justeru usah ketinggalan menyaksikan siri penyiasatan menarik ini pada setiap Selasa pada jam 11 malam hanya di TV2.