Pelakon terkenal negara, Rosyam Nor menerusi syarikat produksinya Suhan Movies and Trading Sdn Bhd dan Telekom Malaysia (TM) sekali lagi bekerjasama menerbitkan musim terbaru program pencarian bakat lakonan iaitu Pilih Kasih.

Kembali untuk musim ketiga, program yang bersiaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 25 Januari lalu bakal memaparkan beberapa pembaharuan bagi memantapkan persembahan dan pengisiannya. 
 
Selepas menjelajah tujuh lokasi termasuk  Selangor, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak, Kuantan dan Kuala Lumpur bagi mencari bakat-bakat baru dalam dunia lakonan, Rosyam akhirnya menemui 16 peserta berpotensi yang mampu digilap dalam program realiti ini. 
 
Menyentuh mengenai pembaharuan, selain terdapat sebuah program baru iaitu Zooom Pilih Kasih, rancangan ini juga diserikan dengan kehadiran dua bintang besar dunia lakonan, Erra Fazira dan Umie Aida yang bertindak sebagai penasihat. 
 
Kesemua peserta Pilih Kasih ini akan mendapat bimbingan secara berterusan mengenai dunia lakonan daripada dua bintang ini menerusi sesi pembelajaran pada setiap minggu. Selain itu, peserta juga akan mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan penerbit terkenal Erma Fatima yang akan membimbing dari aspek lakonan drama mingguan dan pementasan teater serta aktivis teater Hamzah Tahir pula mengawasi seni lakon kesemua 16 bintang PK secara terperinci.
 
Sementara itu, Pentas Pilih Kasih yang menjadi medan penting peserta mempertaruhkan bakat masing-masing dalam menyampaikan tugasan mingguan yang diberikan akan mula bersiaran pada 5 Februari hingga 15 April depan pada setiap Ahad, jam 9 malam.
 
Masih lagi dipentaskan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Pentas Pilih Kasih masih mengekalkan pengacara yang sama, Reza Mohammed.