Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M bakal diraikan pada 5 Februari ini oleh seluruh umat Islam. Dalam menghidupkan semangat sambutan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan sebuah drama khas bertajuk Nahi Mungkar pada 4 Februari ini dalam slot Panggung 1 di TV1.

Nahi Mungkar mengisahkan Shauki yang sering dipandang rendah kerana miskin. Meskipun berdepan pelbagai dugaan, Shauki tetap tenang dan sabar dalam menghadapi penghinaan daripada keluarga mertuanya. Dia bekerja membersihkan kebun dan menernak kambing milik Haji Musa untuk menyara keluarganya. Disebabkan kesungguhannya, dia diberikan kepercayaan untuk mengambil alih sementara kebun tersebut kerana Haji dan isterinya mahu ke luar negara.

Kawan baik Shauki, Baha mempunyai niat jahat terhadapnya setelah cintanya ditolak Suraya kini telah menjadi isteri Shauki. Baha berdendam kepada Shauki dan cuba untuk menjatuhkan Shauki.

Sementara itu, Shauki yang menguruskan kebun Tuan Haji Musa mendapatkan keuntungan yang memuaskan dengan terjualnya kambing-kambing dalam kuantiti yang banyak serta hasil kebun yang diusahakan oleh Shauki membuahkan hasil yang berlipat kali ganda.

Shauki yang pada mulanya amanah dengan kerjanya mula termakan hasutan Baha menipu tentang rekod jualan serta membolot semua keuntungan yang diperolehi. Dia bertambah gembira apabila Haji Musa mengambil keputusan untuk tinggal lagi 2 tahun lagi di luar negara. Suhana yang menyedari perubahan sikap Shauki menegurnya tetapi Shauki menempelaknya dengan angkuh.

Sementara itu, Haji Musa yang selesai menghabiskan masa 2 tahun di luar negara terkejut dengan perbuatan Shauki. Perang mulut berlaku menyebabkan Haji Musa menerima diserang sakit jantung dan meninggal dunia. Isteri Haji Musa tidak memaafkan Shauki kerana peristiwa itu.

Tapi tidak semua boleh terlepas dari balasan Allah di dunia ini. Shauki terpaksa menghadapi segala macam dugaan dengan anak-anaknya yang menjadi semakin tidak terkawal. Apakah kemungkinan yang akan berlaku kepada Shauki? Adakah dia beroleh balasan atau pengampunan? Saksikan lakonan hebat menggandingkan Zamarul Hisham dan Watie Sadali selain Fizz Fairuzz, Kismah Johar, Hisham Ahmad Tajuddin, Shera Hazali dan Addy Ashraff ini khas sempena Maulidur Rasul di TV1.