Misteri yang berlaku 30 tahun lalu akibat nahas kapal terbang terhempas cuba dibongkar kembali menerusi drama bersiri 'Metafora' yang mengisi slot Galeri Famili sejak 28 Disember lalu menerusi TV2. 
 
Metafora menampilkan Aqasha sebagai peneraju utama selain dibantu Kazaruddin Saisi, Abu Bakar Juah, Fauziah Nawi, Almy Nadia, Anne Abdullah, Mahmud Ali Basha, Kenji Sawahi dan Jessie Lim.
 
Mengisi 13 episod siarannya, Metafora mengisahkan konflik yang berlaku dalam diri Hafizi yang membawa diri ke sebuah kampung tempat lokasi di mana berlakunya kejadian kapal terbang terhempas di Tanjung Kupang. Kehadirannya di kampung itu disambut baik pemilik homestay tempatnya menginap, Haji Isa yang terkenal dengan keramahan dan tinggi ilmu agama. Situasi itu membuatkan Hafizi selesa dalam meneruskan misi menunaikan wasiat ibunya.
 
Kehadiran Hafizi kurang disenangi oleh Haris yang menganggap Hafizi mahu merebut kekasihnya, Azura yang juga anak kepada Haji Isa. Namun hakikatnya Azura tidak menyenangi sikap Haris yang suka berpoya-poya.
 
Sementara itu kawasan kampung mereka dihantui dengan kejadian-kejadian aneh yang kemudiannya menarik perhatian Amir, pemuda dari bandar untuk menerbitkan sebuah dokumentari tentang kejadian kapal terbang terhempas yang sebenarnya berpunca daripada rampasan kapal terbang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
 
Di situ juga muncul Ghani, seorang wartawan yang menjadi saksi penting ketika berlakunya kejadian nahas 30 tahun lalu itu. Ghani meneruskan usahanya untuk menerbitkan sebuah buku bertajuk Tragedi Tanjung Kupang berdasarkan pengalaman dan bukti-bukti yang diperolehinya semasa membuat liputan kejadian.
 
Usaha diteruskan Amir berhasil apabila dokumentari itu berjaya disiapkan atas bantuan Ghani. Kebenaran juga berjaya dibuktikan apabila mereka mendapati ayah Hafizi bukanlah penjahat yang dimaksudkan. Malah Taha yang bertanggungjawab mencuri cincin daripada mayat ayah Hafizi juga memulangkan cincin tersebut yang diwasiatkan ibunya untuk menjejak semula keluarga sebelah ayahnya yang berada di Jepun.
 
Namun apakah halangan yang terpaksa dihadapi oleh Hafizi? Dapatkah dia menjejak semula keluarganya di Jepun? Bagaimana pula kesudahan cinta Azura dan Haris? Saksikan kisah penamatnya dalam drama rantaian Metafora di TV2.