Stesen TV berbayar, Astro membawakan sebuah program realiti terbaru berjudul Mania yang bakal menggegarkan industri muzik tanah air. Program ini menyaksikan pertembungan sengit penyanyi hebat tanah air yang bekerjasama dengan penerbit muzik tersohor rantau ini.

Mania akan mula bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam bermula 17 Mac ini di saluran 104. Aznil Haji Nawawi telah diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.

Program Mania bakal menyaksikan dua belas penyanyi terkenal iaitu Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Estranged, Adira AF8, Kristal dan Awi Rafael yang akan berentap untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

Tiga ikon muzik diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai penerbit muzik untuk program ini iaitu Dato’ M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.

Lebih menarik, penonton juga boleh memilih peserta kegemaran mereka menerusi 'Hot Seat' untuk diserap masuk ke program ini. 20 orang penyanyi yang akan dipilih menerusi undian secara online adalah Idayu, Akma (AF3), Noni, Ebi, Shawal (AF5), Riz, Toi, Nadia (AF6), Aishah, Aril (AF7), Daus, Maulana (AF8), Azri, Kay, Lena, Erul, Fina (AF9), Chaq, Fiq dan Mohd (Mentor).

 Juara Mania bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai berjumlah RM500 ribu. Manakala naib juara dan tempat ketiga akan memenangi RM200 ribu dan RM100 ribu. Bukan itu sahaja, penerbit muzik yang berjaya membimbing mana-mana penyanyi di bawah pengawasannya akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, 000.

Jangan lupa saksikan program Mania menerusi Astro Ria pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam bermula 17 Mac ini.