Stesen TV popular, TV3 telah menyiarkan sebuah program baru berbentuk majalah dokumentari berjudul Dunia Tersembunyi yang menyingkap kepelbagaian kehidupan manusia daripada segi gaya hidup, sosio-ekonomi, destinasi pelancongan dan keunikan budaya.

Dunia Tersembunyi yang berkonsepkan pengembaraan ini memaparkan pengalaman peribadi yang dilalui sendiri oleh krew produksi, menerokai demografi lokasi dan masyarakat dalam usaha menyingkap setiap keunikan. Antara tempat menarik yang menjadi tumpuan adalah Tana Toraja, Pulau Lanjukang (Indonesia),  Zhangjiajie, Lijiang (China), Bijapur & Solapur (India), Ha Giang (Vietnam) dan Manila (Filipina).

Menerusi episod pertama, penonton didedahkan maksud sebenar ‘Rambu Solok’. Penonton dibawa ke Tana Toraja, sebuah kawasan pelancongan tercantik di Indonesia. Melalui upacara Rambu  Solok, mayat akan dirai selama seminggu dengan pelbagai acara, antaranya, penyembelihan kerbau. Malah, mayat akan diusung dan digoncang sebagai tanda kenangan terakhir sebelum disimpan di dalam rumah khas. Rambu Solok diiktiraf sebagai upacara adat paling mahal di Indonesia kerana menelan belanja ratusan juta rupiah.

Penonton berpeluang menyaksikan sesuatu yang menarik di Bijapur & Solapur, India di mana satu tradisi iaitu melambung bayi diamalkan. Walaupun amalan ini diharamkan oleh kerajaan, ia masih diamalkan oleh segelintir komuniti yang terikat dengan kepercayaan adat dan agama sejak 400 tahun dahulu. Setiap tahun, hampir 1000 bayi akan dilambung dari ketinggian 20 kaki rumah ibadat terpilih dan disambung menggunakan cadar dipegang sekumpulan lelaki.

Antara kisah-kisah lain yang dipaparkan adalah ‘Tangisan Pengantin’, ‘Nasib Si Kerdil’, ‘Dunia Wanita’, ‘Pasar Cinta’, ‘Jantina Ketiga’, ‘Isteriku Isterimu’, ‘Waris Sabung’, ‘Korban Jiwa Sati’ dan banyak lagi. Rancangan ini dihoskan oleh Mohd Raziff Zulkafli. Jangan lepaskan peluang menonton Dunia Tersembunyi pada setiap hari Rabu pada jam 9.00 malam di TV3.