Menyusul selepas 'Julia', saksikan pula 'Cinta Itu Milikku', buah drama bersiri terbaru di slot Akasia yang akan memulakan siarannya pada 12 November ini.

Drama bersiri 24 episod yang diterbitkan oleh Orangetree Production ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Emma Maembong, Fazreen Rafi, Ana Dahlia, Erry Putra, Mustapha Kamal, Karl Shafek, Dato’ Aziz Singah, Sherry Merlis, Adik Putri Balqis, Ridzuan Hashim, Fiffy Natasya dan ramai lagi.
 
'Cinta Itu Milikku' mengisahkan tentang Rania (Emma Maembong) iaitu anak kedua daripada 3 orang adik-beradik bercinta dengan Zafril (Fazreen Rafi). Namun begitu, bekas tunang Zafril, Dini (Ana Dahlia) tidak berpuas hati dengan hubungan Zafril bersama Rania kerana Dini beranggapan bahawa Rania telah merampas cintanya.
 
Setelah Rania dan Zafril selamat diijab kabulkan, Dini menjadi semakin marah dan mula menyimpan perasaan dendam. Dini sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat membuat Zafril kembali ke pangkuannya.  
 
Dini mendapat tahu Rania mempunyai seorang abang bernama Ridzuan (Karl Shafek). Dini memulakan permainannya dengan menggunakan Ridzuan sebagai senjata untuk mendekati keluarga Rania. 
 
Setelah berjaya menakluk hati Ridzuan akhirnya Dini berkahwin dengan Rizduan. Zafril yang terkejut mendapat tahu bekas tunangnya itu berkahwin dengan abang iparnya, dapat merasakan Dini mempunyai niat tidak baik. 
 
Dini bukan sahaja berjaya memperdaya Ridzuan malah semua ahli keluarga Rania tertipu dengan sikap lemah lembut Dini. Apabila Zafril keseorangan, Dini akan mendekati Zafril dan mengingatkan segala kenangan indah mereka semasa bertunang. Rania yang perasan akan kelakuan Dini itu berasa kurang selesa. 
 
Apa yang akan terjadi seterusnya? Apakah langkah Dini untuk memenangi hati bekas kekasihnya ini? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan ‘Cinta Itu Milikku' menerusi slot Akasia mulai 12 November ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam, hanya di TV3!