Selepas berakhirnya drama Karma, slot Ratu di TV9 bakal menyiarkan drama terbaru berjudul Ariana Mikhail. Drama romantik yang dibintangi oleh dua pelakon muda berbakat besar, Nora Danish dan Syed Hussein Bin Syed Mustafa (Sein) ini bakal menemui anda semua melalui slot Ratu pada setiap hari Isnin dan Selasa bermula 16 Januari ini.

Ariana Mikhail bermula apabila Mikhail (Sein) yang telah tamat pengajiannya di London telah pergi bercuti di Paris bersama sahabat karibnya, Jamil (Riezman Khuzaimi). Semasa percutian itu, Mikhail berniat untuk mencari teman wanita berbangsa Perancis tetapi dia ditakdirkan bertemu dengan Ariana (Nora Danish) yang kebetulan singgah bercuti di Paris sebelum pulang ke Malaysia.

Pertemuan pertama berlaku apabila Ariana bertembung dengan Mikhail dan telah membuatkan Ariana sangat marah kerana Mikhail langsung tidak meminta maaf kepadanya. Sikap Mikhail yang masih tidak berterima kasih dan sombong membuatkan Ariana tidak berminat untuk berkawan dengannya.

Mikhail berkali-kali memberitahu Jamil untuk tidak membuang masa kerana misi mereka adalah mencari wanita Perancis bukan Melayu. Namun, sedikit demi sedikit Mikhail mula jatuh hati kepada Ariana yang telah menjaganya ketika dia sakit. Mikhail telah memohon maaf kepada Ariana atas sikapnya sebelum ini. Ariana memaafkan Mikhail dan sejak itu mereka mula rapat dan berkawan sehingga lahirnya bibit-bibit cinta.

Pada suatu hari, Mikhail telah melamar Ariana dan keadaan yang romantis membuatkan Ariana terharu dan menerima lamaran Mikhail. Mereka telah bernikah di salah sebuah masjid di Paris.

Namun, keesokan harinya, selepas satu malam bersama sebagai suami isteri, Mikhail mendapati Ariana sudah tiada lagi di sebelahnya. Puas Mikhail dan Jamil mencari Ariana di tempat-tempat yang selalu mereka kunjungi ketika di Paris namun tiada. Hanya sepucuk surat yang diutuskan kepada Mikhail.

Apakah isi kandungan surat tersebut? Ke manakah Ariana dan mengapa dia menghilang begitu sahaja dengan seribu tanda tanya? Jangan lupa mengikuti drama 15 episod ini bermula 16 Januari pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 8.30 malam. Selamat menonton!