Menyusuli Mahabbah, jangan lupa menyaksikan buah tangan terbaru daripada pengarah berbakat besar, Murali Abdullah menerusi drama bersiri Ameera yangakan disiarkan di slot Samarinda, TV3.

Drama bersiri 25 episod terbitan Zeel Production yang mendapatkan sentuhan skrip daripada Sharifah Abu Salem menampilkan pelakon-pelakon handalan seperti Rita Rudaini sebagai Ameera dan Syamsul Dato’ Yusof sebagai Ameer. Turut membintangi drama tersebut ialah Zarina Zainoordin, Jasmin Hamid, Aishah Ilias, Hairi Safwan, Reza Hasbi, Khaty Azean, Maimon Mutalib, Faizal Hussein, Sabrina Ali dan Aman Shah.

Ameera mengisahkan kehidupan Ameera dan Ameer yang bahagia melayari bahtera rumah tangga selama empat tahun walaupun masih belum dikurniakan cahaya mata. Namun, mereka tertekan apabila ibu Ameer, Puan Suraya selalu mendesak supaya Ameer berkahwin dengan Marisha kerana Ameera tidak dapat melahirkan anak.

Apabila Ameera disahkan mandul, dunia bagaikan sudah berakhir baginya. Ameera buntu memikirkan cara penyelesaian namun akhirnya dia mencadangkan Ameer supaya mengahwini seseorang untuk mendapatkan anak dan menceraikannya selepas melahirkan anak. Ameer menganggap Ameera bergurau dan tidak mengendahkannya sehingga seorang gadis kampung miskin, Zila muncul dalam kehidupan mereka.

Selepas mendengar kesusahan hidup yang dilalui Zila, Ameera menganggap Zila sebagai calon yang paling sesuai untuk menjadi isteri kepada Ameer. Ameer pada mulanya membantah kerana masih menaruh harapan yang Ameera boleh mengandung. Ameera merayu kepada Ameer agar menerima cadangannya untuk berkahwin dengan Zila. Akhirnya Ameer bersetuju.

Ameer dan Zila bernikah secara rahsia. Zila hanya menikmati malam perkahwinannya selama satu malam sahaja kerana itu syarat yang dikenakan Ameera dan atas permintaan Ameer juga. Dalam perjanjian yang ditandatangani oleh Zila, dia akan diceraikan selepas mengandung dan melahirkan anak Ameer.

Zila yang pada mulanya tidak kisah dengan status isteri sementara telah jatuh cinta kepada Ameer. Dia bukan sahaja cemburu terhadap Ameera malah dia juga mahu merampas Ameer daripadanya. Ameer telah memberi perhatian lebih kepada Zila setelah dia disahkan mengandung.

Adakah cadangan Ameera untuk mendapatkan zuriat Ameer daripada perkahwinan tersebut akan memakan diri? Bagaimana pula dengan nasib Zila selepas melahirkan anak? Berjayakah Zila melepaskan diri daripada cengkaman Faruk?

Segalanya bakal terjawab dalam Ameera yang akan disiarkan mulai 23 Mei ini, setiap hari Selasa dan Rabu pada jam 10.30 malam manakala pada hari Khamis pada 9.30 malam.