Sudah beberapa minggu Mummy bercuti daripada mencoretkan sesuatu di sini. Mula-mula bercuti, lepas tu terlupa dan minggu ketiga pula sibuk menyiapkan kerja yang sudah sampai ke tarikh akhirnya. Maaf semua ya, ada yang bertanya di Facebook, BB dan ada juga yang menghantar sms bertanya mengapa Mummy lama mendiamkan diri. So sorry!
 
Dalam sibuk menyudahkan kerja-kerja di pejabat, Mummy juga sempat ke Istana Budaya untuk menonton teater Badai Semalam lakonan pelakon-pelakon hebat Malaysia seperti Erra Fazira, Aaron Aziz, Umie Aida, Fizz Fairuz, Ziela Jalil dan lain-lain. Mummy bukanlah hendak memuji tetapi Mummy bangga apabila menonton lakonan mereka di IB sehari sebelum pementasan berakhir. Terima kasih kepada Erra FAzira kerana mendapatkan tiket untuk Mummy.
 
Dalam tiga minggu ini juga Mummy sempat menonton Anugerah Skrin, Festival Filem Malaysia dan beberapa hari lalu sempat juga menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA antara Malaysia dan Indonesia. Syabas kepada yang berjaya di Anugerah skrin dan FFM. Tidak lupa juga kepada Harimau Muda (Malaysia) yang 'mengaum' ganas di Stadium Gelora Bung Karno.
 
Suah lama Mummy tidak menonton perlawanan bola sepak tetapi pada 21 November lalu, Mummy kembali mengaum bersama rakyat Malaysia yang lain. Di saat akhir untuk menentukan kejuaraan, satu badan Mummy seram sejuk. Jantung berdegup kencang ketika mereka menjaringkan gol kemenangan. Alhamdullilah, pingat emas untuk Malaysia malam itu.
 
Khairul Fahmi Che Mat yang sejak kebelakangan ini sering diselubungi kontroversi memberikan persembahan hebat dan Mummy rasakan dialah harimau yang paling kuat mengaum  malam itu. Dahulu Mummy tak pernah peduli siapa Khairul Fahmi tetapi malam itu, Mummy boleh 'follow’ Fahmi di Twitter. Tahniah Fahmi dan skuad negara!
 
Kita lupakan seketika pasal bola sepak dan Mummy mahu bercerita tentang seorang insan yang bagi Mummy boleh dibanggakan iaitu Syamsul Datuk Yusof Haslam. Anak muda yang kacak, ketinggian yang sederhana tetapi penuh dengan idea-idea segar dalam menerbit dan mengarah filem-filem Skop Pruductions. Jika tidak, mana mungkin anak muda ini berjaya di Festival Filem Malaysia.
 
Tahun lalu Syamsul menerima anugerah Pengarah Terbaik melalui filem Evolusi KL Drift 2 dan kali ini menggondol anugerah yang sama untuk Filem KL Gangster. Tidak keterlaluan kalau Mummy katakan anak muda ini sehebat bapanya, Datuk Yusof Haslam.
 
Mummy akui, tidak mengenali Syamsul secara dekat. Mummy lebih kenal ayah dan ibunya sahaja. Dulu sewaktu Mummy diberi tugasan untuk menemuramah Datuk Yusof, Syamsul masih lagi kecil dan siapa sangka budak 'cute' yang sering mengacau tugas jurugambar kami kini sudah berjaya mencipta nama.
 
Tidak salah Mummy, kali terakhir diberi tugasan adalah ketika sesi fotografi hari raya bersama keluarga Datuk Yusof beberapa tahun lalu, Datuk pernah meluahkan isi hatinya kepada Mummy. Dalam usianya mencecah 55 tahun, dia akan mengundurkan diri dari dunia hiburan dan akan berada di belakang kamera sahaja.
 
Mummy lihat impiannya sudah menjadi kenyataan. Pemerhatian dari jauh dan mendengar cerita wartawan-wartawan 'junior' di Karangkraf, jarang kelihatan  kelibat Datuk di lokasi sebaliknya Datuk lebih banyak berada di pejabat.
 
Datuk Yusof juga pernah bercerita kepada Mummy bahawa ketika Syamsul ingin mengarah filem pertamanya, Datuk agak keberatan untuk menyerahkan 100% tugas itu kepada anak muda ini dan tidak dinafikan, mereka sering bertelagah antara idea orang lama dan baru.
 
Ternyata, formula Syamsul berkesan dan sebagai seorang ayah, Datuk Yusof terpaksa menerima dengan tangan terbuka. Jika filem di bawah arahan Datuk Yusof dulu, mewah dengan jualan tiket dan pecah panggung tetapi kini filem Syamsul bukan sahaja 'box office' tetapi juga berjaya memenangi pelbagai anugerah.
 
Bagai Mummy, Syamsul berjaya membuka mata masyarakat serta mempunyai cita rasa dan ramuan untuk berjaya. Jika ayahnya berjaya ketika berusia lebih kurang 40-an tetapi Syamsul cipta nama sebelum 30-an lagi. Oleh itu, jangan pandang sebelah mata dengan pengarah dan penerbit muda dalam industri hiburan di negara ini. TAHNIAH SYAMSUL! Tahniah juga kepada Datuk Yusof dan Datin Fatimah kerana berjaya membentuk satu nama baru dalam dunia seni tanah air.
 
BERITA KAKI:
 
Baru-baru ini, di kedai buku MPH, Mid Valley, Fazley Yaacob selamat melancarkan buku terbarunya 'Motivasi Santai #Cinta @FAZLEYYAACOB' yang diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf. `Gift book’ yang telah berada di pasaran lebih kurang dua bulan lalu adalah sebuah buku motivasi cinta yang dipetik daripada kata-kata cintanya di Twitter. Buku ini dijual dengan harga RM9.90 sahaja.
 
Petang itu, tetamu yang mendapatkan buku ini telah dihadiahkan dengan tanda tangan daripada Fazley sendiri. Khas untuk peminatnya, siri Motivasi santai ini akan dilancarkan secara berturutan dengan empat buah lagi naskah dengan tajuk berbeza akan diterbitkan. Selepas itu, anda boleh membelinya secara pakej pula.
 
Biar pun majlis yang diadakan ringkas tetapi amat meriah apabila peminat-peminat setianya juga turut meraikan majlis itu. Mereka berpeluang membaca kata-kata cinta yang ada dalam buku ini. Jangan lupa dapatkan buku ini di pasaran sekarang!
 
* Intan Zabidin adalah mantan Editor MH dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih daripada dua dekad.