Sudah beberapa tahun meninggalkan dunia penulisan hiburan tetapi apabila ditawarkan oleh orang yang bertanggung jawab untuk portal MEDIA HIBURAN kembali menulis di ruangan ini, hati kembali berbunga. Tetapi mampukah aku?  Masih adakah orang ingin mengetahui dunia artis daripada tulisan air tanganku? Pelbagai prasangka bermain difikiran. Ahhhhh… pedulikan, yang penting segala cerita dunia hiburan inginku kongsikan bersama pembaca semua. Opppss! Yang rahsia tetap rahsia dan itulah rahsia dan petua yang harusku pegang sehingga kini.
 
Tetapi sejak awal lagi, team portal MH meminta aku menukar nama ataupun nama ruangan ini. Nama apa ya? Tiba-tiba terpacul `MUMMY HOT’. Mummy? Aduh! Tua pula rasanya ganti nama Mummy ini. Tak suka! Tak suka tau! Tetapi tak kisahlah. Apa ada pada gelaran, bukan?
 
Sejak Mummy beralih arah ke dunia penerbitan buku di Grup Buku Karangkraf, ramai teman-teman yang bukan dalam dunia hiburan bertanya, adakah Mummy masih berkawan atau pun bermesra dengan selebriti-selebriti tempatan macam dulu?
 
Alhamdullilah, mereka juga insan biasa. Mungkin ada yang teralpa untuk bertanya khabar dan ada juga yang semakin rapat dan mesra dengan Mummy. Tetapi sebagai insan biasa, Mummy tidak pernah ambil `pot’, yang penting kalau ditegur kita menjawab.
 
“Dato' Siti masih telefon you ke sejak tidak pegang editor hiburan?” Tegur seorang  teman.
 
Aku hanya mampu tersenyum… dengan lembut aku menjawab.
 
“Sepanjang aku mengenali Dato' Siti, dia bukanlah insan yang rajin untuk telefon-telefon wartawan tanpa sebab. Jika dia telefon, saya percaya waktu itu memang dia betul-betul `free’. Atau pun mungkin sesekali dia cuba mengusik.”
 
Tiba-tiba terus terfikir, apa kata untuk kali ini Mummy berkongsi (sekadar menulis dan mengingati) kisah-kisah lalu sepanjang mengenali insan yang bernama SITI NURHALIZA ini.
Mungkin Mummy bukanlah antara wartawan yang terlalu rapat dengan Dato' Siti, tidak pula bermakna kami `gitu-gitu’ sahaja. Jika ada masa kami bertemu, pernah juga kami meluah perasaan tetapi Dato' Siti adalah seorang yang perahsia waktu itu.
 
Bagi Mummy, sesiapa yang mengenali Dato’ Siti dengan lebih dekat, dia bukanlah seorang insan yang sering memberikan senyuman, pendiam, angguk, nyanyi tetapi dalam diam-diamnya dialah kaki buli dan suka menyakat orang.
 
Bila teringat perangainya, teringat Mummy kepada arwah Sudirman, sifat-sifat suka menyakat arwah ada sedikit pada Dato’ Siti. Sedang kita tekun dan serius dengan tugas harian di pejabat, tiba-tiba deringan telefon mengganggu seketika kerja.
 
“Hello,” selalunya suara Mummy agak garang kalau tengah sibuk dengan tugas.
 
“Hello…boleh cakap dengan Kak Intan?” Lembut suaranya seperti budak-budak.
 
“Siapa ni?” Suara Mummy semakin tegas.
 
“Siti…” jawapnya lembut dan memang saya tidak menyangka langsung itu suara Dato' Siti Nurhaliza.
 
Siapa sangka, diubahnya suara kemudian dia buat lawak dan kekadang dia bercakap dengan serius membuatkan saya keliru suara siapakah itu. Inilah antara gelagat bintang besar dan popular ini yang mungkin peminat di luar tidak mengetahuinya.
 
Masih Mummy ingat lagi, ketika beliau belum begitu meletup sebagai insan seni. Pelbagai kutukan yang diterima anak gadis ini, bukan kerana suara tetapi penampilannya, pakai sarung tangan, pakai baju tidak kena tempat, tidak pandai menjawab soalan dan bermacam-macam lagi. Tetapi insan kerdil ini tidak pernah bersuara bahkan dia semakin bangkit hasil daripada kata-kata dan sindiran orang sekeliling.
 
Lebih hebat lagi apabila dia tidak mahu bergandingan dengan mana-mana artis lelaki. Aduh! Lebih ramai yang mengutuknya daripada memuji. Dia tetap diam. Kemudian ramai pula artis baharu (perempuan) yang ikut jejak langkahnya untuk tidak mahu bergambar dengan lelaki. Tetapi apakah mereka dapat bertahan seperti yang dilakukan oleh Dato' Siti hingga kini? Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
 
Bagi insan yang sudah lama mengikuti perkembangannya, Dato' Siti dulu dan kini memang tidak banyak bezanya. Biarpun sudah ada gelaran dan namanya sudah popular di luar negara tetapi dia tetap juga begitu, cantik, peramah dan seadanya.
 
Sejak berumah tangga, hanya satu yang Mummy perhatikan dia tidak lagi begitu berahsia. Dato' sering bercerita apa sahaja dalam twitternya atau pun FB. Itu yang kekadang membuatkan Mummy rindu dengan sikap lamanya (jangan marah Dato', Mummy bercerita apa yang Mummy rasa dan rindu ‘Biarlah Rahsia’).
 
Tetapi mungkin ramai lagi yang memuji sikap Dato' yang lebih terbuka ini. Semua terpulang kepada hak masing-masing. Bagaimanapun, Dato' Siti Nurhaliza, Siti Nurhaliza, Kak Iti, Mak Iti atau pun apa sahaja yang dipanggil, kau tetap No 1. Agaknya inilah bintang yang pernah dinyatakan oleh arwah Dato' Sudirman suatu ketika dulu. Semoga Dato' Siti Nurhaliza tetap seperti dulu. Kalau jumpa lepas ini jangan lupa tegur ya! Salam untuk Datuk K.
 
* Intan Zabidin adalah mantan Editor MH dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih daripada dua dekad.