Tanggal 22 Februari, genaplah 20 tahun pemergian seorang insan dan mentor bagi Mummy. Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad, seorang insan yang Mummy rasakan pemergiannya terlalu awal. Tanpa disedari, sesudah 20 tahun dia pergi meninggalkan kita tetapi insan seni ini sentiasa bermain di fikiran kita semua.
Sehingga kini, Mummy masih terasa, gurau sendanya, kata nasihat dan gerak lincahnya ketika di atas pentas. Apabila mendengar kembali lagu-lagu yang dinyanyikan terasa seperti dia masih berada di dunia ini. Tetapi Allah lebih menyayanginya kerana dia pergi dalam usia yang begitu muda dan namanya sedang berada di kemuncak dalam persada seni dan perniagaan di negara ini.
Mummy akui tidak mengenali lama insan dari Temerloh, Pahang ini. Biarpun begitu, dari mula Arwah Dato Sudirman menyertai Bintang RTM dan kemudian bergelar juara , Mummy rasakan dia adalah seorang insan istimewa. Bila albumnya dilancarkan, buat pertama kali Mummy akan mengumpul wang saku sekolah khusus untuk membeli kasetnya. Lagu daripada albumnya (Nilai Cintamu) berjaya Mummy hafal sehingga ke hari ini.
Secara ikhlasnya, Mummy bukanlah seorang peminat tegar seperti kawan baik Mummy, Nuri Supian. Mummy sekadar peminat biasa yang hanya suka dengan lagu-lagu nyanyiannya. Berlainan pula dengan Nuri yang sanggup melakukan apa sahaja demi penyanyi kesayangannya ini.
Ketika mula bekerja dengan Karangkraf, Mummy difahamkan Allahyarham telah diberi ruang untuk melukis kartun dalam akhbar Bacaria. Nuri adalah orang yang paling gembira kerana dia yakin dapat bertemu dengan arwah dan bila ada wartawan yang ditugaskan untuk mengambil bahan-bahan kartunnya, Mummy dan Nuri selalu `menyibuk’ untuk ikut serta ke rumah Allahyarham. Tapi sayang, kami tidak pernah berpeluang bertemu dengannya.
Sehinggalah suatu hari, bos telah menawarkan Mummy untuk menjadi pembantu peribadi Arwah Dato Sudirman kerana dia akan menjadi penulis pula untuk penerbitan Karangkraf. Apakah ini satu mimpi? Persoalan ini bukan sahaja berlegar dalam fikiran Mummy tetapi kepada keluarga di kampung juga.
Mummy menerima tawaran itu dengan semangat baru kerana Mummy pun masih mentah dalam dunia kewartawanan. Tidak dinafikan, banyak kenangan manis sepanjang membuat temujanji dan tugasan dengan Allahyarham.
Banyak yang Mummy pelajari. Antaranya Mummy belajar untuk mengenali orang, cara untuk menemuduga, menulis dan paling penting, Mummy belajar jadi berani. Selain itu, setiap kali berdepan masalah, Allahyarham sudah dapat menduga dan dia pasti menceriakan keadaan biarpun sekadar di talian telefon.
Mummy masih ingat lagi, ada seorang teman editor pernah menyuruh Mummy mencatatkan setiap gerak langkah Allahyarham ketika Mummy bersamanya. Namun Mummy tidak mengendahkannya kerana bagi Mummy, Allahyarham akan hidup bertahun-tahun lagi dan tidak mungkin akan meninggalkan kita dalam waktu terdekat.
Selain daripada kebolehan menyanyi, menari, berlakon, melukis kartun, menulis dan banyak lagi, beliau juga pandai memasak. Sayangnya, buku masakan daripada air tangannya tidak sempat diterbitkan.
Apa makanan kegemaran Arwah Sudirman? Antaranya ialah sambal udang petai dan gulai lemak telur itik. Allahyarham juga pernah memberi Mummy kek oren sempena hari raya. Minum petang pula, Allahyarham suka teh 'O' suam atau nescafe tarik dan pisang goreng yang lembik.
Sudirman bukanlah seorang insan yang tidak kedekut. Pantang mendengar kesusahan orang lain, tangannya cepat menghulurkan sumbangan. Begitu juga kalau bertemu orang-orang tua dan kanak-kanak pantang ada duit dalam poket habis semua disedekahkan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, selain tidak pandai memandu kereta, beliau juga jarang membawa duit tunai di dalam dompetnya. Seingat Mummy, kad kredit pun tidak pernah ada.
Mungkin sebelum ini, Mummy pernah bercerita segala-galanya tentang arwah tetapi Mummy tidak pernah rasa jemu untuk bercerita berulang kali perkara yang sama tentang insan istimewa ini. Mummy rasa begitu bertuah, biarpun seketika tetapi Mummy dapat dan pernah bekerjsama dengan insan bernama DATO' SUDIRMAN HAJI ARSHAD.
AL-FATIHAH.
* Intan Zabidin adalah mantan Editor MH dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih daripada dua dekad.


