Sejak kisah cinta antara pelakon dan pengacara, Fizo Omar, 28, dan anak kepada pengasas tudung Fareeda, Mawar, 24, diketahui umum, tidak banyak yang dikongsikan oleh Mawar tentang hubungannya dengan pelakon drama 'Julia' itu.
 
Ketika ditemui di majlis pengumuman majlis perkahwinan mereka, Mawar mengakui yang Fizo adalah cinta pertamanya.
 
"Jujurnya, Fizo adalah cinta pertama saya. Sebelum ini saya tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki. Bukan apa, saya sangat dijaga oleh keluarga.
 
"Saya terbuka hati menerimanya sebagai bakal suami kerana melihat kesungguhannya dalam tempoh perkenalan kami. Dia sangat mencuba walaupun pada mulanya saya buat tak layan.
 
"Bila tengok dia serius dan datang berjumpa dengan ibu saya, keyakinan saya bertambah untuk menerimanya," kongsi Mawar yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.
 
Terlebih dahulu Fizo telah membuat kejutan ke atas bakal tunangnya itu dengan melamarnya di dalam panggung wayang lebih kurang jam 1.30 petang tadi.
 
Fizo dan Mawar akan mengikat tali pertunangan pada 9 November depan diikuti dengan majlis pernikahan mereka pada keesokan harinya, 10 November 2013.
 
Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kediaman Mawar dan disiarkan secara langsung di TV9 menerusi program 'Nasi Lemak Kopi O'.
 
Sebelum mengambil keputusan untuk melamar di e@Curve, Damansara, Fizo telah menghantar rombongan merisik pada 26 Ogos lalu.