Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TVi (Astro 180) mennyajikan 14 buah telemovie menarik yang disiarkan sepanjang Aidilfitri ini bagi mengisi slot Wayang-i, pada jam 12.00 tengah hari. 
 
14 telemovie tersebut 'Untung Atas Angin' (5 Ogos), 'Bahulu Celup' (6 Ogos), 'Hijabista Kampung' (7 Ogos), 'Man Jenggo' (8 Ogos), 'Apabila Aidil Jumpa Fitri' (9 Ogos), 'Chef Aidilfitri' (10 Ogos), 'Syawal Buat Abang' (11 Ogos), 'Rembau Ada Wifi?' (12 Ogos), 'Tukang Jahit Tak Raya' (13 Ogos), 'JBS 51 Kereta Cikgu Rizwan' (14 Ogos), 'Buluh, Baju & Baba' (15 Ogos), 'Sejernih Taubat Syawal' (16 Ogos), 'Raya Yang Paling Raya' (17 Ogos) dan 'Tutty Polka Dot' (18 Ogos). 
 
Antara artis terkenal yang membintangi telefilem-telefilem ini termasuklah Misha Omar, Emelda Rosmila, Amar Asyraf, Fazreen Rafi, Puteri Sarah, Hairul Azreen Idris, Zoey Rahman, Sari Yanti, Chaq Mentor, Zul Khuzaimy, Jue Aziz, Yus Jambu, Tauke Jambu, Shuib Sepah, Ifa Raziah, Jehan Miskin, Nubhan, Abby Abadi dan Ayu Raudhah. 
 
Saksikan kemuculan Misha Omar membintangi drama 'Untung Atas Angin' di samping Roy Azman dan Enot yang mengisahkan Nora telah berhenti bekerja dan ingin berniaga biskut raya. Dia meminta rakan baiknya, Ain dan Tipah membuat biskut raya untuknya namun mereka enggan kerana tahun sebenarnya mereka pernah mengalami kerugian akibat pelanggan mereka berhutang. Begitupun setelah dipujuk barulah mereka bersetuju dengan cadangannya. 
 
Kisah-kisah pengajaran pula diketengahkan dalam drama bertajuk 'Bahulu Celup' pula kisah mengenai Aina yang selalu dimanjakan oleh ibunya sehingga tidak mampu berdikari. Namun Aina cuba mengubah kehidupannya setelah dibanding-bandingkan dengan kakaknya Aini yang dilakonkan oleh Emelda Rosmila dan Dian P.Ramlee.  
 
'Man Jenggo' lakonan Amar Asyraf Zailuddin, Sheera Iskandar, Marisa Yasmin, Riz Amin dan Syed Ali kisah Azhar seorang pemuda kampung begitu teruja dapat bekerja sebagai krew produksi. Dia gembira dapat berjumpa dengan hero pujaannya Adi Rizman. Azhar juga bersangka buruk dengan watak jahat Man Jenggo dan setelah berlaku satu peristiwa buruk baru dia dapat menilai perangai sebenar Adi Rizman dan Man Jenggo.
 
Menyusul kemudiannya 'Apabila Aidil Jumpa Fitri' kisah Aidil, seorang DJ Radio bersimpati dengan Fitri yang terpisah daripada adik-adik yang tinggal bersama keluarga angkat mereka. Aidil cuba untuk menolong Fitri menemui adik-adiknya semula sebelum hari raya. Dalam usahanya untuk menolong Fitri, Aidil telah disalah anggap oleh tunangnya, Anis menyebabkan Anis ingin memutuskan pertunangan mereka kerana menganggap Aidil lebih mementingkan Fitri. Ia dibintangi oleh Fazreen Rafi, Raihan Kamal dan Puteri Sarah. 
 
'Syawal Buat Abang' kisah Rosli pemuda yang bertekad untuk berusaha membaiki nasib keluarganya tetapi bapanya mahu Rosli bermain muzik seperti dirinya namun Rosli berhijrah ke bandar dan bekerja sebagai buruh kasar. Adiknya Rustam berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi bersama Nora yang menaruh hati terhadap Rosli. Setelah tamat pengajian, Rustam meluahkan hasrat untuk melamar Nora, Rosli pula pulang ke kampung untuk berhari raya. Ia lakonan Chomat Samad, Nor Fadzila Ahmad dan Hairul Azreen Idris.
 
'Sejernih Taubat Syawal' pula menyelami kisah Badrul dan Maya kahwin lari di luar negeri tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Badrul kembali ke Sarawak untuk bekerja di sana. Di Sarawak kehidupan Badrul mula berubah sewaktu Maya ke Kuching untuk mencari Badrul, dia telah kemalangan dan koma. Ia mengetengahkan pelakon Zul Khuzaimy, Jue Aziz dan Anne Abdullah.
 
Bergelak ketawa dengan telemovie-telemovie komedi seperti 'Hijabista Kampung' kisah mengenai dua tukang jahit yang berebut untuk mendapatkan tempahan baju raya tiap kali tibanya raya. Kisah bagaimana mereka masing-masing cuba untuk menonjolkan fesyen-fesyen terbaru masa kini bagi menarik bakal pelanggan. Drama ini adalah lakonan Kartina Aziz dan Kathy Azean. 
 
Begitu juga drama komedi 'Chef Aidilfitri' lakonan hebat Razak Ahmad dan Zarina Zainuddin, kisah Pak Jamal menaruh hati terhadap Wan Chu tetapi Pak Jalal tidak disukai oleh Amira anak Wan Chu. Di kampung Pak Jalal, telah diadakan satu pertandingan yang menawarkan hadiah RM 10,000 dan ini menyebabkan Amira menyuruh Kecut mencuri resepi rendang Tok Pak Jalal kerana rendang Tok Pak Jalal memang terkenal di kampung itu. Pak Jalal pula menyuruh Yob mencuri resepi gulai tempoyak Wan Chu. 
 
Tontoni juga aksi lucu Yus Jambu, Tauke Jambu, Shuib Sepah, Ifa Raziah dan Puteri Mayangsari dalam 'Tukang Jahit Tak Raya' mengisahkan Mail dan Mat dengan dibantu Samad telah membuka kedai menjahit. Semasa Ramadan, mereka terlalu banyak menerima tempahan menjahit sehingga gagal menyiapkan baju raya, malah tersilap menyerahkan baju pada pelanggan yang salah. Samad yang cuba mendapatkan semula baju yang tersalah diberi kepada pelanggan tidak pulang ke kedai menyebabkan Mail dan Mat tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya. Lakonan 
 
Sesuatu yang menarik pastinya drama 'Rembau Ada Wifi?' kisah Shahril yang baru balik dari luar negara tidak pasti mengenai pekerjaan yang ingin diceburinya. Bapanya sanggup memberi RM100 ribu ringgit untuk Shahril memulakan perniagaan sendiri dengan syarat Shahril mampu melepasi cabaran ketika tinggal bersama bapa saudaranya di kampung. Di Kampung, Shahril berbuat baik dengan Syifa untuk mendapatkan Khidmat Wifi. ia menggandingkan lakonan hebat Zoey Rahman, Sari Yanti dan Chaq Mentor.
 
Akhir sekali luangkan masa menyaksikan lakonan Jehan Miskin, Nubhan, Arash Mohamad, Abby Abadi dan Ayu Raudhah dalam 'Raya Yang Paling Raya', kisah Iwan dan Hadi telah berhijrah ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat mencapai impian tetapi selepas tiga tahun nasib mereka masih tidak berubah. Apabila tiba hari raya, Adi mengajak Iwan memecah masuk rumah untuk mencari tambang balik ke kampung.