Umum mengetahui pengarah filem terkenal, Ahmad Idham tidak bersetuju dengan penayangan filem di Astro First yang dianggap merosakkan industri perfileman tempatan. 
 
Terbaru, filem arahannya, 'Lari' yang menampilkan lakonan hebat Aaron Aziz, Erin Malik, Dira Abu Zahar dan Adi Putra telah ditayangkan di saluran berbayar itu sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat.
 
"Aaron adalah artis eksklusif Astro, jadi jika saya mahukan Aaron, secara tak langsung filem itu juga perlu ke Astro First. Saya anggap ini sebagai perniagaan dan saya tidak kisah untuk bertolak-ansur mengenai perkara ini.
 
"Tapi filem-filem lain terbitan Excellent yang tidak melibatkan Aaron seperti Gangster Celop yang ditayangkan sebelum ini, tetap tidak ditayangkan di Astro First," jelas Ahmad Idham yang dipetik daripada Sinar Harian Online. 
 
Sebelum ini, syarikat produksinya, Excellent Pictures sudah bertindak sebagai pembekal eksklusif kesemua filem terbitan produksi tersebut untuk TV3 selama dua tahun bermula awal Mac tahun lalu.